Pelantikan hakim perlu lalui proses, tidak sewenang-wenangnya

19 JUL : Pengumuman berkait pelantikan hakim yang mencetuskan polemik sebelum ini tidak boleh diumum lebih awal seperti yang didesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia perlu melalui proses di semua peringkat yang sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ramai tanya saya kenapa tidak umum lebih awal. Saya tidak boleh jawab sewenang-wenangnya kerana proses pelantikan hakim melibatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ia perlu melalui perbincangan bersama Raja-Raja dan setelah dipersetujui barulah dibawa semula kepada Agong untuk diperkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Anwar, pengumuman pelantikan yang dibuat kelmarin itu juga menunjukkan tiada hakim yang dipecat deperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.
Terdahulu, Terdahulu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengumumkan keputusan itu dalam satu kenyataan disiar pada Facebook tengah malam kelmarin.
Selain itu, baginda turut memperkenan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Turut dilantik, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.
