14 NOV : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap pentadbir Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas berhubung kes penyebaran 33 artikel yang dianggap memudaratkan.
Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman itu selepas kedua-dua individu tersebut gagal hadir atau memfailkan dokumen yang diperlukan.
Peguam MCMC, Wong Guo Jin berkata Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan MCMC kerana defendan tidak memasukkan memorandum kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, ganti rugi am dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah.
“MCMC memfailkan penghakiman ingkar pada 25 September lalu bagi beberapa tuntutan yang dimasukkan pada writ dan pernyataan tuntutan bertarikh 21 Mei lalu.
“Peguam bagi kedua-dua defendan juga tidak hadir ke mahkamah bagi prosiding ini,” katanya.
Mahkamah menetapkan 27 November ini untuk tarikh pengurusan kes dalam menentukan status permohonan penghakiman ingkar terhadap defendan ketiga, Telegram Messenger Inc.
Melalui penghakiman ini, mahkamah mengesahkan bahawa kedua-dua pentadbir saluran itu telah membenarkan atau memudahkan penerbitan kandungan memudaratkan.