3 MAC: Bagi membanteras pemburuan hidupan liar secara haram, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melaksanakan pelbagai inisiatif.
Menteri KeTSA, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata inisiatif dilaksanakan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu, memberi kesan besar.
Katanya, antara inisiatif terbabit adalah Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 pada 17 Februari 2021.
“Bagi menjayakan inisiatif seperti ini, pembabitan komuniti dalam program diadakan seperti Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti yang membabitkan vetera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Orang Asli cukup penting, selain menjadikan penguatkuasaan lebih berkesan.
“Ini turut memupuk tanggungjawab dalam melindungi khazanah flora dan fauna serta meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sempena Hari Hidupan Liar Sedunia (WWD) 2021 bertemakan ‘Forest and Livelihoods: Sustaining People and Planet’ yang disambut hari ini.
Menurut Shamsul Anuar, tema itu dipilih bertujuan menekankan kepentingan ekosistem hutan dan spesisnya dalam usaha memastikan kesinambungan kehidupan manusia di seluruh dunia.
Katanya, perkara itu membabitkan Orang Asli dan komuniti setempat yang mempunyai hubungan erat dengan kawasan hutan dan sekitarnya.
“Hutan perlu dipelihara dan dipulihara bagi meningkatkan ketahanan ekosistem yang semakin terancam serta membantu dalam mengurangkan fenomena perubahan iklim.
“Degradasi hutan, perubahan guna tanah, pemburuan dan perdagangan haram akan menyebabkan kepupusan spesies-spesies flora dan fauna, meningkatan konflik manusia-hidupan liar serta menjejaskan potensi ekopelancongan,” katanya.
Sempena Hari Hidupan Liar Sedunia 2021, katanya, PERHILITAN turut mengatur pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam selaras dengan norma baharu termasuk webinar serta pameran seni dengan kerjasama KL City Art Gallery
Get real time updates directly on you device, subscribe now.