5 MEI: Bersempena Ramadan ini, petugas barisan hadapan di sekitar ibu negara berpeluang menikmati bubur lambuk hasil ‘air tangan’ Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selepas baginda berbesar hati mencemar duli memasak juadah itu khusus kepada mereka.
Lebih istimewa, proses memasak bubur lambuk mengikut resipi Johor dan Pahang itu, disertai Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli membantu Raja Permaisuri memasak di perkarangan surau utama Istana Negara, hari ini.
Yang turut membantu penyediaan juadah itu adalah anak baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al- Sultan Abdullah.
Sambil dibantu kira-kira 180 pegawai dan kakitangan Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN), Tunku Azizah yang sememangnya terkenal dengan hobi dan kemahiran memasak, kelihatan sibuk menjalankan proses juadah tradisi Ramadan.
“Saya harap bubur lambuk ini dapat hiburkan perut, selera dan hati petugas barisan hadapan kita. Harap bubur ini sedaplah kerana saya bukan masak ala kadar, masak bahan-bahan semua cukup, bagaimana saya makan begitulah saya masak,” titah Tunku Azizah kepada media pada program itu, hari ini.
Tunku Azizah juga mezahirkan hasrat untuk mengagihkan bubur lambuk kepada rakyat di pintu Istana Negara, namun disebabkan kekangan COVID-19, perkara itu tidak dapat dilaksanakan dan baginda berharap perancangan terbabit dapat dibuat pada tahun hadapan.
Sementara itu, Pengerusi KEKSIN, Mohd Irfan Idrus, berkata program memasak bubur lambuk yang bermula kira-kira 11.30 pagi dan selepas sekitar tiga jam kemudian itu adalah aktiviti tahunan dianjurkan pihaknya bersempena Ramadan.
“Sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak pada hari ini, dua menggunakan resipi Johor dan dua resipi Pahang.
“Jadi 1,600 bubur lambuk itu diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur hari ini sebagai menghargai jasa mereka dalam membantu negara memerangi COVID19,” katanya yang juga Ketua Pegawai Pentadbir di Istana Negara.