Geely rancang tingkat pelaburan di Malaysia
10 OKT : Syarikat automotif China, Geely menyatakan komitmen untuk meningkatkan penyertaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penyediaan tenaga mahir tempatan di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia selari dengan keperluan industri pada masa hadapan selain membuktikan syarikat itu komited dalam pelaburan di negara ini.
“Petang tadi saya menerima kunjungan hormat daripada En. Li Shufu (Eric Li), Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd. (Geely) dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary seraya diapit Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Pertemuan ini adalah bukti bahawa Geely menyusul pelaburan komited berjumlah RM32 bilion yang saya umumkan sebagai sebahagian daripada hasil lawatan rasmi saya ke negara China pada akhir Mac tahun ini,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya selepas mengadakan pertemuan bersama pihak Geely di Tanjung Malim, Perak, pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Geely juga sedang dalam perancangan untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dengan memperkukuhkan negara ini sebagai hab pengeluar kenderaan bagi tujuan eksport.
“Sayugia, Geely merupakan gergasi automotif dunia dan juga rakan kongsi strategik konglomerat Malaysia, DRB-HICOM.
“Moga yang dirancang ini akan membuahkan hasil kepada ekonomi negara, Insya-Allah,” katanya.
Pada 3 Oktober, Anwar memaklumkan Geely akan meneruskan komitmen pelaburan mega di Malaysia apabila memutuskan untuk menambah pelaburan berjumlah RM10 bilion bagi memperbesarkan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim, Perak.
Sebelum ini, Geely menyatakan hasrat untuk melabur sebanyak RM45.3 bilion untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta terbesar di rantau ini.
*AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri