12 DIS : Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet-kadet di peringkat sekolah untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu beliau putuskan pada Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang berlangsung, semalam.
“Saya dimaklumkan mengenai kemajuan pelaksanaan program membina kefahaman dan penghayatan erti kenegaraan yang sangat penting kepada setiap rakyat Malaysia.
“Antara yang dibentangkan adalah status pelaksanaan PLKN 3.0 bermula 2025 di mana saya menekankan kepentingan program ini dilaksanakan dengan teliti dan menambah baik pendekatan sesuai peredaran semasa.
“Dalam mesyuarat ini saya memutuskan pelaksanaan PLKN 3.0 ini diutamakan kepada pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet-kadet sekolah yang akan diselaraskan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan,” katanya.
Beliau berkongsi perkembangan itu melalui hantaran di Facebook, semalam.
Menurutnya, PLKN 3.0 itu penting dalam usaha melahirakn generasi muda yang berdaya tahan tinggi serta cekal.
“Ini penting agar program ini mampu melahirkan generasi anak muda Malaysia yang mempunyai daya tahan yang tinggi, cekal menopang rintangan kehidupan serta mampu menyumbang kepada negara selaku warganegara Malaysia yang bertanggungjawab.
“Terkait peranan setiap rakyat dalam membina negara bangsa, adalah mustahak usaha menyeluruh digembleng dalam memperkukuh jati diri, kekuatan iltizam bersama memajukan negara dan kesediaan untuk mempertahankan tanah air tercinta,” katanya.

*Foto: Facebook Anwar Ibrahim
PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan membabitkan 200 pelatih lelaki secara sukarela yang berlangsung selama 14 hari bermula 12 Januari depan.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan PLKN 3.0 berdasarkan hasil kajian terperinci serta mendalam dan ia akan dijalankan dengan konsep dan format yang baharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kajian akademik sudah dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif bagi mengukur impak pelaksanaan program berkenaan.
Malah, katanya statistik pembabitan belia, kadar kepuasan peserta dan pengukuran tahap patriotisme menunjukkan hasil yang positif.