3 APR : Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata orang ramai perlu memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Katanya, mana-mana pihak yang mengambil kesemaptan atau membuat perkara yang boleh menimbulkan ketegangan bakal berdepan tindakan undang-undang.
Tegasnya, perkara itu dalam pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dari semasa ke semasa.
“Kita harap orang ramai mengelak daripada menyebarkan berita atau maklumat palsu supaya tidak mengelirukan orang ramai.
“Masyarakat yang mahu mendapatkan maklumat boleh mengakses di laman sesawang atau kenyataan media rasmi daripada jawatankuasa berkaitan.
“Ini bertujuan mengelak kekeliruan dan menimbulkan suasana tidak baik terutama kepada mangsa. Ini juga bentuk sumbangan kita kepada negara dengan mengehad dan memastikan tiada isu tidak berkaitan ditimbulkan.
“Tindakan berasaskan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau membuat sesuatu tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, hari ini.
Setakat ini katanya, polis menerima 108 laporan berkait insiden itu.
Dalam kejadian pagi 2 Syawal itu, api yang membakar gas di Putra Heights itu dapat dilihat menjulang tinggi sehingga lebih tiga jam sebelum ia berjaya dikawal.