19 APR : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kekal Ketua Cabang Lembah Pantai selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028.
Fahmi mempertahan jawatan tersebut bagi penggal kedua berturut-turut.
Ketua cabang lain yang turut menang tanpa bertanding di Wilayah Persekutuan adalah Azman Abidin di Bandar Tun Razak; Muhammad Fikri Khalid @ Abdul Aziz (Putrajaya) dan Simsudin Sidek (Labuan).
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memenangi jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal selepas menewaskan dua pencabarnya.
Ketua Wanita PKR itu meraih 677 undi menewaskan Muttaqeen Mustafa (335 undi) dan Muhammad Navalan Abdullah (72 undi).
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.
Naib Presiden PKR itu tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki yang menang dengan majoriti 68 undi.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
Sementara pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) akan dilaksanakan pada 24 Mei ini.