19 APR : Semua jemaah haji tahun ini diingatkan agar mendapatkan permit haji rasmi melalui platform Nusuk.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan menegaskan tiada visa yang boleh membenarkan jemaah menunaikan haji tanpa permit.
Kementerian itu turut menekankan bahawa tiada jenis visa yang membenarkan seseorang menunaikan haji tanpa permit, dan pematuhan sepenuhnya terhadap semua peraturan serta arahan adalah penting bagi menjamin keselamatan jemaah serta kelancaran ibadah haji.
Pada masa sama, kementerian itu juga memberi amaran kepada semua jemaah tentang kewujudan aktiviti penipuan serta promosi kempen palsu berkaitan haji yang disebarkan di media sosial.
Kata kementerian, iklan tersebut cuba memperdaya jemaah dengan menawarkan penginapan dan pengangkutan palsu di tempat-tempat suci.
Justeru itu, orang ramai digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian 911 di Makkah, Riyadh dan Wilayah Timur atau 999 bagi kawasan lain di seluruh negara.
Selain itu, turut diumumkan bahawa tarikh akhir keluar bagi pemegang visa umrah pada 29 April 2025 bersamaan 1 Zulqaedah 1446 Hijrah bagi persediaan menghadapi musim haji.