19 APR : Seluruh jentera kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri perlu bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Penekanan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim usai mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak, hari ini.
Katanya, perancangan kerajaan kini perlu disegerakan bagi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara.
“Dalam mesyuarat ini, saya menegaskan keperluan agar seluruh jentera kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
“Segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Dalam mesyuarat sama, Anwar memaklumkan beberapa perkara dibincangkan termasuk hala tuju serta keutamaan projek pembangunan di negeri tersebut.
“Mesyuarat turut membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaraskan dengan perancangan Persekutuan.
“Saya turut mendengar pembentangan berkaitan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi memperkukuh ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
“Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK