21 APR : Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dihantar ke Myanmar Khamis lalu memulakan operasinya secara rasmi, pagi tadi di daerah Sagaing, kawasan paling terjejas dalam gempa bumi dahsyat, 28 Mac lalu.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan HMM yang dikendalikannya itu beroperasi jam 9.50 pagi waktu Malaysia.
“HMM yang diuruskan Tim Op Starlight III adalah HMM Tahap Dua dengan kapasiti 20 katil turut dilengkapi dengan kemudahan seperti wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi, makmal dan menawarkan dua kepakaran iaitu pembedahan am dan ortopedik.
“HMM Tahap Dua berkeupayaan melaksanakan pelbagai bentuk rawatan kritikal termasuk prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.
HMM tahap kedua itu juga mampu melaksanakan dua pembedahan serentak dan pembedahan pertama berjaya dilakukan sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Selain itu, perkhidmatan pesakit luar turut ditawarkan dan dijangka menerima antara 80 hingga 100 pesakit luar dalam sehari.
HMM turut dibantu tiga pegawai perubatan dari Hospital Sagaing.
Ketua Menteri Wilayah Sagaing, Myint Naing dan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon, Leftenan Jeneral Thet Pon juga hadir hari ini semasa pembukaan operasi selain meninjau keperluan tambahan HMM.
Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing hadir meninjau persiapan HMM pada 19 April lalu yang juga bukti pengiktirafan Myanmar terhadap usaha Malaysia.
Sejak dibuka, HMM itu menerima aliran pesakit dari kawasan sekitar secara berterusan dan difahamkan penduduk tempatan menzahirkan penghargaan atas usaha Malaysia yang membantu mereka.
