BN usaha tarik pengundi atas pagar, sasar tambah majoriti
22 APR : Jentera Barisan Nasional (BN) terus berusaha menarik pengundi atas pagar dalam kempen yang masih berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengharapkan pecutan akhir jenteranya itu membuahkan hasil dalam menambah bilangan majoriti undi berbanding yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita perlu kenal pasti dan memujuk selain memberi kefahaman supaya mereka menyedari bahawa DUN Ayer Kuning ini perlu terus kekal menjadi milik kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Jambatan Sungai Liat yang runtuh akibat hakisan di Felda Sungai Klah di Tanjung Malim, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata setakat ini, kempen bersama jentera Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar setakat ini.
Pengundian awal PRK tersebut selesai dijalankan hari ini dan hari penentuan bakal berlangsung Sabtu ini.
Terdapat 31,897 pengundi berdaftar di DUN Ayer Kuning terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis beserta pasangan.
PRK kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohamad Yusri Bakir dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sementara itu, kerja baik pulih jambatan runtuh di Sungai Liat yang menghubungkan Felda Sungai Klah ke Felda Hotsprings Sungai Klah sedang giat dijalankan.
Sebuah jambatan bailey akan didirikan bermula hari ini dan dijangka siap serta dibuka kepada orang awam Rabu depan.
