22 APR : Datuk Seri Rafizi Ramli menuntut Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah membuat permohonan maaf kepada rakyat negeri itu atas tuduhan tidak berasas dilemparkan berkait kelulusan projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5.
Menteri Ekonomi itu berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra tersebut mendakwa beliau sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan Notis Perubahan (NoC).
Malah kata Rafizi, beliau juga dituduh cuba mensabotaj projek Kerajaan Negeri Kedah.
“Setelah jadi bahan Tiktok kononnya Menteri Ekonomi memangsakan rakyat Kedah, akhirnya permohonan NOC ditarik balik. Lunyai saya kena maki sebab kononnya berdendam dan memangsakan rakyat Kedah kerana kononnya cuba mensabotaj projek Kerajaan Kedah, iaitu Kulim Hitech Park Fasa 5.
“Saya jelaskan yang saya tidak boleh luluskan selagi tidak dapat pengesahan kesediaan penjual tanah untuk menjual tanah.
“Saya boleh saja minta Exco terbabit minta maaf secara terbuka kerana cuba memburukkan nama Kementerian Ekonomi untuk menutup kelemahan pengurusan Kerajaan Negeri Kedah, tapi saya ingat rakyat pun tahu perkara sebenar, tak perlu panjangkan isu ini. Yang lebih baik ialah Exco terbabit minta maaf dengan rakyat Kedah,” katanya melalui satu hantaran video yang disiarkan di akaun Facebook, hari ini.
Sebelum ini, beberapa kenyataan Haim Hilman berkait kelulusan projek tersebut tular di media sosial.
Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan, selepas beliau menjawab tuduhan dilemparkan, barulah kerajaan negeri kembali merujuk kepada kementeriannya dengan dua pengesahan rasmi iaitu penarikan balik permohonan asal dan permohonan baharu dengan skop tanah berbeza.
Katanya, permohonan baharu itu menyaksikan kos keseluruhan meningkat daripada RM195 juta kepada RM362 juta.
“Berita baik untuk rakyat Kedah, Kementerian Ekonomi telah meluluskan permohonan itu dan KHTP Fasa 5 boleh diteruskan.
“Berita kurang baik pula agensi Kerajaan Negeri Kedah telah menambah hutang asal RM195 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan, tambah lagi RM180 juta pinjaman sebab kos telah meningkat kepada RM362 juta,” katanya.