22 APR : Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum memutuskan masa depannya dalam PKR menjelang pemilihan parti, bulan depan.
Ini termasuk untuk kembali bersaing dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi merebut jawatan itu.
Menurut Saifuddin yang juga ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, beliau mengambil maklum pandangan beberapa pihak yang menyatakan sudah tiba masa untuknya membuat keputusan.
Namun Menteri Dalam Negeri itu berkata beliau masih perlu menyelesaikan beberapa proses lagi sebelum mengambil kata putus.
“Saya pun mengikuti juga beberapa pandangan orang yang mula sebut tentang idea bahawa sampai masanya saya membuat pengumuman dan sebagainya.
“Belum lagi. Saya masih lagi belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu.
“Kalau buat, saya akan panggil sidang media. Belum lagi. Masih ada dua, tiga proses lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan melancarkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEAKS), hari ini.
Menurut Saifuddin, beliau mengadakan pertemuan dengan Rafizi membincangkan soal kaedah mengukuhkan terus peranan masing-masing dalam parti.
“Yang memberikan titik temu antara kami adalah komitmen kami yang berterusan untuk terus mengukuhkan parti. Kami anggap proses pemilihan ini sebagai satu proses demokrasi yang diizinkan dalam Perlembagaan parti.
“Parti ini parti reform, demokrasinya tak boleh mati. Kerana itu, pemilihan adalah satu pesta demokrasi. Jadi kalau dah berlaku pemilihan, ada yang terpilih, ada yang tidak. Saya tak mahu bagi dikotomi ‘orang Saifuddin’, ‘orang Rafizi’…seperti yang disebut Perdana Menteri…ini semua orang parti, orang Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau sempat meminta agar pendukung parti menganggap pemilihan itu sebagai satu proses demokrasi yang segar dan menyalurkan sebarang ketidakpuasan hati ke saluran parti.
Mengulas soal nama-nama besar PKR yang tewas dalam pemilihan kali ini, Saifuddin berkata mereka bukannya tewas sebaliknya hanya tidka cukup undi.
“Bukan tewas, mereka undi tak cukup ya. Saya yang banyak kali bertanding, lebih banyak kalah daripada menang, saya masih di sini. Kalah bukan maksud terpinggir dan tersingkir. Kalah…selama kamu terus berkhidmat, kamu terus setia dengan parti, pimpinan tetap memberikan tempat kepada kamu.
“Jadi nama-nama besar, mungkin sebab dia menteri ke, timbalan menteri ke, sebab dia pimpinan utama…jadi maksudnya masuk pemilihan parti mesti menang? Tak juga macam itu kan?
“Jadi keadaan sebenarnya itu, pemilihan parti ini dinamik. Ya, ia melakukan proses penyegaran, ‘refreshment’ dan sebagainya,” katanya.