Ugut potong dana, Harvard saman pentadbiran Trump
22 APR : Universiti Harvard memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam tuntutan itu, pihak universiti terkaya di dunia itu mendakwa pentadbiran tersebut cuba mengawal pembuat keputusan di Harvard.
Selain itu, ia juga merujuk kepada universiti utama lain yang berdepan pemotongan dana secara mendadak.
Tindakan undang-undang diambil Harvard sebagai membantah ugutan Trump sebelum ini dilaporkan bakal memotong dana berbilion dolar yang diperuntukkan untuk pusat penyelidikan institusi tersebut.
“Pemerintah cuba menggunakan kuasa secara berlebih-lebihan dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Tindakan melulu itu akan memberi kesan jangka panjang dan impak besar,” kata Presiden Universiti Harvard, Profesor Alan M Garber.
Dakwa Alan, kerajaan juga mahu mengawal siapa pengajar dan apa yang diajar kepada penuntut.
Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan di Massachusetts dengan menamakan beberapa defendan termasuk Setiausaha Kesihatan, Robert F Kennedy Jr; Setiausaha Pendidikan, Linda M McMahon dan Peguam Negara, Pam Bondi.
Dilaporkan, pentadbiran Trump dikatakan mahu melancarkan kempen memerangi anti-Yahudi yang kemudiannya menyasarkan program dan pengajaran berkaitan kepelbagaian kaum serta ideologi jantina.
Malah ‘senarai tuntutan mengarut’ turut dihantar termasuk pengauditan profesor berhubung isu plagiarisme, melaporkan kepada kerajaan Persekutuan tentang penuntut antarabangsa yang terlibat salah laku dan melantik penyelia pihak luar bagi memastikan jabatan akademik mempunyai ‘pelbagai sudut pandang’ untuk bahan pengajaran.
*Foto: Facebook Harvard University : Grace DuVal