23 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan kenyataan pada pembukaan Sidang Khas Parlimen yang akan diadakan 5 Mei ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan sidang khas itu diadakan bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, surat pemberitahuan berkaitan sidang itu sudah dihantar kepada semua ahli Parlimen mulai hari ini.
“Ia akan dimulakan dengan kenyataan Perdana Menteri, diikuti sesi perbahasan yang menyaksikan kedua-dua pihak ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyampaikan pandangan.
“Ia digulung Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Semalam, Anwar mengesahkan sidang khas Dewan Rakyat itu bagi membincangkan isu tarif timbal balas AS terhadap negara ini.
Tengku Zafrul dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berlepas ke Washington untuk bertemu dengan pegawai kanan AS serta beberapa pegawai kerajaan lain bagi membincangkan soal tarif itu.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia dan puluhan negara dagang lain dengan kadar berbeza.
Beberapa jam pelaksanaannya, pentadbiran Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari kecuali China bagi memberi laluan kepada rundingan.