23 APR : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akui tarif yang dikenakan terhadap China mencecah 145 peratus itu tinggi.
Namun, beliau percaya bakal berlaku penurunan ketara pada kadar yang ditetapkan itu.
“Benar, 145 peratus adalah sangat tinggi dan ia tidak akan setinggi itu. Kita bercakap mengenai fentanyl, di mana anda tahu, pelbagai elemen membinanya sehingga 145 peratus.
“Tidak, ia tidak akan setinggi itu. Ia akan turun dengan ketara tetapi tidaklah menjadi sifar,” katanya, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Beliau berkata sebelum ini ia tidak dikenakan tarif atau tarif sifar yang menyebabkan AS ‘musnah’.
Malah beliau menyifatkan China hanya mempergunakan AS dan ia tidak dibenarkan berlaku.
“Kami akan menjadi sangat baik kepada China. Mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Xi (Jinping)…mereka akan melakukannya dengan sangat baik dan saya fikir mereka akan gembira.
“Saya fikir kita akan hidup bersama dengan sangat gembira dan pada hakikatnya, bekerja bersama-sama. Saya fikir ia akan berjaya dengan baik tetapi tidak akan capai 145 peratus, tidak akan berada hampir dengan jumlah itu,” katanya.
Terdahulu, pentadbiran Trump mengumumkan beberapa kenaikan tarif import ke AS sehingga mencapai 145 peratus dan dibalas dengan kadar 125 peratus untuk import ke China.