25 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar lebih fokus kepada agenda pembangunan demi masa depan negara.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana isu sensitif yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, sikap itu hanya akan melemahkan kekuatan negara serta menggugat keharmonian masyarakat.
Katanya lagi, anak-anak perlu dilatih mendepani pelbagai ancaman yang mendatang.
“Jangan kita cuai, pandang ringan hal-hal ini. Jangan kita digugat dengan celoteh-celoteh, kita cakap tentang digital sekarang seperti kecerdasan buatan (AI).
“Harus ada kekuatan baharu dalam melatih anak-anak kita, mendepani ancaman tarif selain bakat, kecekapan serta kepintaran baharu dalam kejuruteraan AI.
“Lihatlah kepada masa depan kita pandanglah kepada kepentingan anak-anak kita, apakah kita mampu kekalkan tahap ini atau kita lonjak laju. Saya jawab kita mampu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak memfokus kepada usaha melahirkan generasi yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran pada masa depan.
Selain itu, Anwar melahirkan keyakinan Malaysia mampu melonjak ke tahap lebih tinggi dengan disokong kepimpinan negara yang bersih, tegas dan tidak mudah digugat anasir yang melemahkan jentera pentadbiran.