26 APR : Kerajaan mahu produk hiliran getah dipelbagaikan bagi mewujudkan permintaan sekaligus menstabilkan harga dalam pasaran tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan saranan itu kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai langkah jangka panjang.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pekebun kecil tidak terlalu bergantung kepada kawalan harga kerajaan.
“Sebenarnya getah sekerap boleh menghasilkan produk seperti bahan api bio yang menyerupai diesel dan petrol. Produk ini mendapat pengiktirafan badan-badan piawaian dan mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan.
“Sekiranya berjaya dikomersialkan, permintaan terhadap bahan api bio ini akan meningkatkan harga getah sekerap,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Karnival RISDA Madani (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Sungai Sumun, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kayu getah matang juga berpotensi dikembangkan untuk industri pembuatan perabot yang berkualiti.
“Saya telah mengarahkan supaya 40,000 hektar tanaman semula getah dilakukan setiap tahun tetapi kayu getah ini mestilah dirawat terlebih dahulu supaya harganya mahal dan pada masa yang sama daya tahan lebih. Ini sesuai dengan permintaan pasaran perabot di luar negara.
“Di Muar ada zon industri perabot dan mengikut laporan, nilai eksport perabot melebihi RM85 bilion dan lebih 70 peratus bahan ini datang daripada kayu getah. Kita meminta RISDA mencari benih pokok getah yang dapat menghasilkan kayu balak getah yang bersesuaian dengan industri perabot,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha itu bukan sahaja dapat menambah pendapatan RISDA, malah membolehkan agihan dividen kepada pekebun kecil hasil daripada penjualan kayu getah tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.