26 APR : Proses pengiraan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bermula sebaik kesemua 19 pusat pengundian ditutup secara rasmi, jam 6 petang tadi.
Hanya pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti ditutup lebih awal iaitu jam 4 petang tadi.
Kesemua peti undi daripada 63 saluran dikumpul di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Merdeka, Tapah.
Dijangkakan keputusan rasmi pilihan raya hari ini akan diumumkan jam 9 malam ini.
Hari ini, 31,281 pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat baharu kawasan itu selepas kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan peratusan keluar mengundi setakat jam 4 petang sebanyak 54 peratus.
Hari pengundian awal dijalankan Selasa lalu dengan 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.