28 APR : Negara ini perlu membangun dengan rancak namun dengan berasaskan nilai serta akhlak di bawah konsep MADANI yang diperkenalkan sebelum in.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata melalui konsep itu, ia membawa kelainan supaya pembangunan yang dibuat itu berbeza dengan kefahaman dan ideologi lain.
Beliau yang juga Menteri Kewangan membangkitkan perkara ketika berucap pada perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025 di Kangar, Perlis, malam tadi.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata dalam usaha mengangkat martabat Islam di negara ini, umatnya perlu menjadikan penguasaan al-Quran sebagai asas dalam membina tamadun dan negara MADANI.
Namun, pada masa sama katanya, penguasaan bahasa, digital dan kecerdasan buatan (AI) juga perlu diberi tumpuan bagi mengelakkan umat Islam ketinggalan.
“Saya ingin mengingatkan dan menyeru rakan-rakan yang mempunyai keupayaan menyampaikan ilmu, ingatlah bahawa cabaran kita terlalu rumit dan umat Islam perlu melakukan sesuatu yang lebih segar, lebih dinamik serta lebih berani,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kekuatan dalaman perlu dibina bukan sekadar melibatkan akidah dan akhlak malah berkait semua bidang.
“Umat meletakkan pengharapan yang tinggi untuk kita melakukan pembaharuan dalam berdepan cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam sama ada di dalam atau luar negara.
“Makanya kita perlu membina kekuatan dalaman, bukan sekadar kekuatan akidah dan akhlak, bahkan daya tahan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang.
“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh taffaquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang agar hasrat membangun umat dan negara dapat dicapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar,” katanya.
Seramai 109 orang peserta menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025 yang berlangsung mulai Ahad hingga 2 Mei di Perlis.
