28 APR : Peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bakal menerima geran tanah lot ladang yang diusahakan setelah menanti lebih 40 tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata akhirnya perkara itu menjadi kenyataan, setelah dibangkitkan sejak tahun 1978.
“Pengerusi KESEDAR minta perkara ini sejak tahun 1978. Hari ini, ia menjadi kenyataan, hari bersejarah untuk peneroka di Gua Musang.
“Hari ini, saya menyaksikan proses menandatangani borang pindah milik antara peneroka dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
“Hak milik tanah ini adalah satu pengubah keadaan bagi para peneroka yang telah menanti lebih 40 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri KESEDAR di Dataran Awam Kampung Jerek, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemilikan geran itu kelak bakal memberi impak besar kepada peneroka yang sudah mengusahakan tanah itu sejak sekian lama.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan akan memulakan penyerahan geran tanah kepada peneroka selepas KESEDAR membayar premium tanah kepada kerajaan negeri.
“Ia telah dipecah lot kepada para peneroka dan geran tersebut akan diserahkan setelah semua Borang 14A disiapkan,” katanya.
Pada fasa pertama, 127 peneroka melibatkan lima RKT akan menerima pemilikan tanah masing-masing iaitu RKT Sungai Asap, RKT Renok Baru, RKT Paloh 1, RKT Paloh 3 dan RKT Chalil.
Sementara bakinya melibatkan 2,140 peneroka di sembilan lagi RKT akan menerima pemilikan tanah itu pada fasa seterusnya.
*Foto : Facebook Zahid Hamidi