30 APR : Media antarabangsa melaporkan negara BRICS menyokong penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dan kewangan.
Perkara itu dinyatakan dalam deklarasi yang dipersetujui Menteri-menteri Luar bagi negara BRICS.
Deklarasi itu diterima pakai selepas mesyuarat di Rio de Janeiro, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Menteri-menteri Luar itu juga mengarahkan menteri kewangan dan gabenor bank pusat masing-masing merangka mekanisme yang bersesuaian berkait penggunaan mata wang tempatan itu.
“Para Menteri menekankan kepentingan memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan penyelesaian kewangan antara negara BRICS dan rakan dagang mereka.
“Mereka turut merujuk kepada perenggan 66 dalam Deklarasi Kazan yang menugaskan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat, mengikut kesesuaian, untuk terus meneliti isu berkaitan mata wang tempatan, instrumen pembayaran dan platform,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama
Selain itu, menteri terbabit juga menekankan keperluan melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem kewangan global bagi memperkukuh suara negara membangun serta meningkatkan perwakilan mereka dalam institusi kewangan antarabangsa.
Para menteri turut mengulangi gesaan agar pembaharuan institusi kewangan antarabangsa memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti pembiayaan dan memudahkan akses kepada sumber, khususnya bagi negara membangun dan negara kurang membangun.
Selain itu, para menteri juga mengiktiraf kepentingan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam sektor mineral kritikal, menurut deklarasi itu.
Ini termasuk melalui pelaksanaan dasar perindustrian hiliran, pemindahan teknologi dan amalan mampan untuk memastikan sumber itu menyumbang kepada pembangunan yang inklusif dan saksama, khususnya bagi negara asal sumber. – Bernama