1 MEI : Israel menahan 18 individu yang disyaki terlibat dalam pembakaran hutan terbesar dalam sejarah mereka.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata penahanan itu tindak balas terhadap insiden yang menyebabkan kerosakan meluas dan memaksa pemindahan penduduk dari beberapa kawasan.
“Kami telah menahan 18 individu yang disyaki melakukan pembakaran hutan.
“Salah seorang daripada mereka ditangkap ketika sedang melakukan perbuatan itu,” kata Netanyahu.
Pemimpin rejim itu berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap dalang pembakaran tersebut.
Menurut laporan media, pihak berkuasa Israel percaya kebakaran tersebut dicetus dengan sengaja dan terancang.
Terdapat lebih 20 lokasi kebakaran dikenal pasti di kawasan terjejas.
Setakat ini, usaha memadam kebakaran masih berjalan dan kawasan yang terjejas semakin luas.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar dilaporkan telah melancarkan kempen diplomatik dengan meminta bantuan negara lain untuk memadamkan kebakaran itu.