1 MEI : Kerajaan melancarkan Kad Pekerja Madani untuk dimanfaatkan sejuta ahli kesatuan pekerja.
Melalui kad itu, ahli boleh menikmati diskaun sehingga 30 peratus daripada lebih 100 syarikat barangan keperluan dan perkhidmatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada golongan pekerja.
“Kad Pekerja Madani ini memberi peluang kepada ahli kesatuan yang memilikinya untuk menikmati diskaun bagi pelbagai kemudahan.
“Inisiatif ini merupakan tanda penghargaan kepada golongan pekerja yang sentiasa gigih melaksanakan tugas dan amanah,” katanya.
Beliau mengumumkan inisiatif itu ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan akan menjelaskan perincian lanjut mengenai Kad Pekerja Madani itu melalui kenyataan media yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Difahamkan antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, OldTown White Coffee, ZUS Coffee, SOCAR dan Bateriku.
Lebih 10,000 pekerja sektor awam dan swasta menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja 2025 yang bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Axiata Arena, hari ini.
