1 MEI : Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu tiba di Malaysia hari ini dalam rangka lawatan rasmi sulungnya selama empat hari.
Ini kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak menjawat sebagai presiden pada 4 April 2021.
Ketibaan Osmani disambut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kompleks Bunga Raya sekitar jam 5.25 petang tadi, lapor Bernama.
Sebaik tiba, beliau memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Muhammad Nafis Norshid.
Menurut Wisma Putra, Osmani dijadual akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra esok disusuli mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbincangan itu dijangka tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dua hala dalam sektor utama termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan serta pertukaran antara rakyat Malaysia dan Kosovo.
Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk Kepengerusian ASEAN Malaysia, tahun ini.
Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Oktober 2008 dan merupakan negara Asia pertama yang berbuat demikian.
Hubungan diplomatik pula diwujudkan secara rasmi pada 18 Mac 2011.
Dalam pada itu, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencecah RM28.55 juta (AS$6 juta) pada tahun 2024 dengan jumlah eksport ke republik itu sebanyak RM25.92 juta (AS$5.5 juta) dan import RM2.63 juta (AS$550,000).
Eksport Malaysia ke Kosovo termasuk minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan, sementara import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu permata.
