Malaysia-Filipina senada bantuan ke Myanmar perlu salur tanpa sekatan
2 MEI : Malaysia dan Filipina senada terkait penyaluran bantuan ke Myanmar perlu berlaku tanpa sebarang diskriminasi mahupun sekatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang disebut dalam panggilan telefon dengan Presiden Republik Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Romualdez Marcos Jr, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau turut menyuarakangesaan Malaysia agar gencatan senjata di Myanmar itu dilanjutkan.
“Petang tadi saya telah membuat panggilan telefon kepada sahabat baik saya yang juga Presiden Republik Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Romualdez Marcos Jr. bagi berkongsi beberapa perkara dan perkembangan terkait ASEAN dan isu-isu global.
“Saya maklumkan kepadanya hasrat dan gesaan Malaysia supaya gencatan senjata di Myanmar dilanjutkan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada penduduk terjejas.
“Kami juga senada bahawa sebarang bentuk bantuan perlu disalurkan tanpa sebarang diskriminasi atau sekatan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh soal tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS), Anwar berkata Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN.
“Berkenaan soal tarif, sebagai pengerusi ASEAN, saya maklumkan bahawa Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya untuk menunjukkan kepentingannya kepada AS dalam rundingan tarif global.
“Keputusan AS menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari ketika ini memberi kelegaan bagi membolehkan perbincangan lanjut mengenai perkara berkaitan memandangkan kekuatan Malaysia dalam beberapa jenis produk,” katanya.
Menurut Anwar, pada akhir perbualan beliau sempat mengucapkan maju jaya kepada Bongbong Marcos dalam pilihan raya umum, 12 Mei ini selain menzahirkan harapan untuk bertemu pada ASEAN Summit di Kuala Lumpur nanti.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim
*OLEH : HANUM RAJAK