2 MEI : Malaysia menyambut baik pembukaan Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur, hari ini.
Malaysia memperakui hubungan dua hala Malaysia-Kosovo yang kukuh serta menekankan komitmen dalam rundingan yang berlangsung pada hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan kedutaan itu merupakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Katanya, ia secara langsung mempermudah urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan serta pelancongan.
“Kedutaan Kosovo ini merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Kosovo.
“Ia pasti akan membantu dalam aspek perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya dan pelancongan antara kedua-dua negara.
“Namun, lebih kritikal adalah kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, supaya kita dapat memanfaatkan kekuatan Kosovo dan hubungan erat mereka dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan sulung Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu ke Malaysia bermula semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau menantikan lebih banyak kerjasama operasi teknikal termasuk perjanjian Time Charter Party (TCP) yang disifatkannya bukan sekadar hubungan diplomatik biasa.
“Sebaliknya, Malaysia adalah sahabat sejati dan kami akan kekal komited melangkaui aspek diplomasi, pelaburan perdagangan dan hubungan bermakna antara kedua-dua negara.
“Pada pertemuan hari ini, kami turut membincangkan beberapa isu antarabangsa yang mana kami percaya pada isu kemerdekaan, hak asasi manusia termasuk isu Palestin hingga soal keamanan dunia,” katanya.
