2 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah tertinggi, ‘Order of Independence’ daripada Kosovo, hari ini.
Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu menyampaikan anugerah itu kepada Anwar dalam satu majlis ringkas di Bangunan Perdana Putra.
Pengiktirafan berprestij itu merupakan satu penghormatan awam tertinggi dikurniakan Kosovo kepada individu yang memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan republik tersebut.
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan penganugerahan itu mengiktiraf sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap kedaulatan Kosovo serta pembangunan pasca kemerdekaannya.
Ia juga pengiktirafan terhadap komitmen teguh Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Pada majlis sama, bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menerima anugerahkan Order of Independence itu secara ‘anumerta’.
Anugerah itu sebagai penghargaan atas kepemimpinan Allahyarham Tun Abdullah semasa tempoh penting dalam sejarah Kosovo.
Di bawah kepemimpinan Abdullah, Malaysia menjadi antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008.
Malaysia merupakan negara Asia pertama yang berbuat demikian dan hubungan diplomatik pula diwujudkan secara rasmi pada 18 Mac 2011.
Osmani tiba di Malaysia semalam dalam rangka lawatan rasmi sulungnya selama empat hari.
Ini kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak menjawat sebagai Presiden pada 4 April 2021.
Pagi tadi, Osmani sdiberi sambutan rasmi negara dalam satu majlis di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
Anwar menyambut ketibaan Osmani jam 9 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Osmani kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan daripada 103 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
