4 MEI : Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura meneruskan penguasaan dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) yang diumumkan awal pagi tadi.
Kemenangan itu sekaligus menunjukkan parti itu berjaya mengekalkan majoriti lebih dua pertiga.
Parti itu juga menang di lima kerusi tanpa bertanding melibatkan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights.
Dari segi undi popular parti Perdana Menteri, Lawrence Wong itu memperoleh kemenangan besar dengan 65.57 peratus sekaligus menyaksikan peningkatan lebih empat mata peratusan berbanding PRU 2020.
Pada PRU2020, PAP menang 83 kerusi daripada 93 kerusi dipertandingkan dengan 61.2 peratus undi.
PAP bertanding di kesemua 33 bahagian pilihan raya, merangkumi 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan 18 GRC.
“Rakyat Singapura telah memberikan mandat yang jelas dan kukuh kepada Parti Tindakan Rakyat untuk mentadbir. Saya berasa rendah diri dan amat bersyukur atas kepercayaan yang telah anda berikan kepada saya dan pasukan saya.
“Pihak pembangkang, terutamanya Parti Pekerja menampilkan barisan calon yang kuat dan memberikan saingan yang hebat kepada kami. Saya menghormati kehadiran pembangkang di Parlimen dan akan terus mengambil pandangan serta cadangan mereka dengan serius.
“Akhirnya, pertandingan yang lebih besar bukanlah antara parti-parti politik tetapi antara Singapura dan cabaran-cabaran yang kita hadapi. Maka marilah kita berdiri bersama sebagai Satu Pasukan Singapura untuk menghadapi badai yang mendatang dan memastikan masa depan yang lebih cerah untuk kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui satu hantaran di Facebook, awal pagi tadi sebaik kemenangan disahkan.
Parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP) gagal mencatat sebarang kemenangan baharu namun berjaya mengekalkan 10 kerusi yang dimenangi pada PRU2020 iaitu di SMC Hougang, GRC Sengkang dan GRC Aljunied.
Parti pembangkang lain pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang kemenangan dalam pilihan raya kali ini.