Lantikan ahli JKMR perkukuh keyakinan rakyat, Mohd Shahar sebagai pengerusi
6 MEI : Kerajaan berharap pelantikan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara.
Seramai tujuh ahli JKMR dilantik pada Isnin untuk tempoh 25 April 2025 hingga 25 April 2028.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi JKMR.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan tiga daripada ahli yang baharu dilantik adalah dua Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan serta Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Sementara empat lagi masih dalam lantikan (15 September 2023 hingga 14 September 2026) selain Mohd Shahar, yang dilantik semula adalah Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.
Kesemuanya menerima surat cara pelantikan daripada perdana menteri yang disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Kata Anwar, JKMR berperanan penting dalam menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan isu rasuah serta meneliti Laporan Tahunan SPRM.
Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Sementara itu, Mohd Shahar yang juga Pengerusi Backbencher Club (BBC) merakamkan penghargaan atas kepercayaan diberi untuk beliau memikul tanggungjawab itu.
“Alhamdulillah, saya telah menerima surat cara pelantikan sebagai Pengerusi JKMR daripada Perdana Menteri Malaysia setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menasihati Perdana Menteri berkenaan pelbagai aspek berkaitan masalah rasuah di Malaysia, selain meneliti dan memberikan ulasan terhadap perjalanan Suruhanjaya selaras dengan fungsi-fungsinya di bawah Akta SPRM 2009.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pelantikan ini. Insya-Allah, saya akan memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK
