6 MEI : Malaysia perlu membina kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi domestik dengan kepakaran tempatan dalam kalangan anak muda di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting bagi memastikan Malaysia lebih bersedia bergantung kepada keupayaan sendiri jika berlaku ketidaktentuan global.
“Kita perlu membina kekuatan dalaman dulu, daya tahan ekonomi domestik, walaupun kita menggunakan teknologi asing tetapi kita harus mencari kaedah-kaedah baharu dan ini ditentukan oleh anak-anak muda.
“Dengan dasar yang jelas, maksudnya kita bergantung lebih kepada keupayaan kita…hidupkan perniagaan, pengurusan dan kepakaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI)- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru anak muda yang berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara agar sentiasa berdisiplin dan memanfaatkan segala pengetahuan serta kepakaran diperoleh untuk menjadi generasi lebih baik.
Menyentuh soal sektor semikonduktor yang menggunakan kepakaran tempatan, Anwar memaklumkan industri itu sedang meningkat maju di Malaysia hingga menarik pelabur asing melabur di negara ini.
“Kita dalam semikonduktor ini tidak ketinggalan tetapi teknologi itu masih dikatakan back end, masih setakat keupayaan pembuatan,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyampaikan surat tawaran kepada pelatih yang akan menjalani latihan intensif selama setahun di Liuzhou, China di bawah PLKI ECRL.
Seramai 102 orang daripada kumpulan pertama dijadual berlepas ke China bermula 15 Mei ini.
