6 MEI : Satu demi satu cabang PKR menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR 2025, hujung bulan ini.
Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi yang menyuarakan cadangan itu berharap ia mendapat sokongan seluruh ahli parti itu.
Hari ini, beberapa cabang termasuk Kota Kinabalu, Gerik, Pulai dan lima cabang di Melaka serta PKR Pahang menyatakan sokongan itu secara terbuka.
Lima ketua cabang PKR di Melaka dalam satu kenyataan bersama melahirkan keyakinan Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan dan mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR.
“Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Pengalaman beliau sebagai bekas naib presiden parti, ahli Parlimen dua penggal,dan aktivis masyarakat sehingga baru baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.
“Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.
“Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu, seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan lima ketua cabang iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu), Jagatheason Ramiah (Jasin) dan Md Yusoff Ahmad (Kota Melaka).
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Lee Li Mei turut menyatakan sokongan terbuka dan tidak berbelah bahagi kepada Izzah.
“Saya percaya Nurul Izzah adalah sosok paling tepat untuk peranan itu. Beliau bukan sekadar anak kepada tokoh reformasi, tetapi pejuang sebenar yang telah membuktikan kemampuan dan keutuhan perjuangannya sejak awal.
“Dengan pengalaman sebagai bekas aib Prpesiden, ahli Parlimen dan aktivis reformasi, beliau memiliki kredibiliti untuk menyambung legasi perjuangan serta mencorak masa depan parti dengan nilai-nilai progresif dan inklusif,” katanya.
Menurutnya, PKR memerlukan seorang timbalan presiden yang boleh menjadi jambatan antara generasi dan mampu mengangkat suara akar umbi serta merangka masa depan parti dengan lebih yakin.
“Ini bukan soal populariti atau nostalgia. Ini soal hala tuju dan kelangsungan perjuangan. Saya percaya Nurul Izzah membawa harapan baharu kepada PKR dan Malaysia.
“Beliau mampu memperkukuh hubungan dalam Kerajaan Perpaduan serta menggerakkan semangat juang anggota parti di seluruh pelosok negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Cabang Pulai, Muhammad Faezuddin Mohd Puad yang juga Naib Ketua AMK Johor berkata Izzah sudah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang prihatin, berintegriti dan dekat dengan rakyat.
“Cadangan ini dilihat sebagai langkah tepat dalam memperkukuh kepimpinan parti bukan sahaja dari segi pengalaman dan kelayakan politik, tetapi juga dari segi keterangkuman gender.
“PKR sentiasa memperjuangkan untuk memperkasa wanita dan pencalonan seorang tokoh wanita berkaliber seperti Nurul Izzah adalah sejajar dengan semangat ini,” katanya.
Katanya, selain penyandang, Rafizi Ramli dan kemungkinan penyertaan Datuk Seri Saifuddin Nasution, kehadiran Izzah dalam pertandingan merebut jawatan nomor dua itu dilihat menambah kemeriahan pesta demokrasi PKR.
Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR yang akan berlangsung 24 Mei ini.
Sementara Saifuddin masih belum mengumumkan keputusannya selepas tewas kepada Rafizi pada pemilihan PKR 2022.
*OLEH : HANUM RAJAK