6 MEI : Langkah proaktif Kerajaan MADANI yang menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) jelas memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kepentingan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia sekali gus memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh di mata dunia.
“Saya menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap langkah-langkah yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Parlimen bagi menangani dampak pengenaan tarif balas oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, usaha kerajaan ketika ini bukan sahaja untuk mengurangkan tarif namun juga membuka ruang pasaran baharu.
“Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) saya memandang serius cabaran yang dihadapi komuniti desa akibat ketidaktentuan perdagangan global.
“Ramai penduduk luar bandar secara tidak langsung bergantung pada sektor E&E (elektrik dan elektronik), kelapa sawit, getah dan pertanian, dengan AS antara pasaran utama negara.
“Justeru, saya yakin usaha kerajaan ini bukan sahaja berunding mengurangkan tarif tetapi juga membuka pasaran baharu di ASEAN, Timur Tengah, Mesir, Pakistan dan Kemboja amat penting bagi melindungi pendapatan dan kelangsungan hidup mereka yang terkesan,” katanya.
Dalam sektor pembangunan halal pula, beliau percaya Malaysia akan terus diyakini menerajui industri halal dunia dengan nilai eksport mencecah RM61.79 bilion pada 2024 yang meningkat 15 peratus berbanding sebelumnya.
Ia sekali gus mengekalkan kedudukan nombor satu dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.
Namun katanya, kelembapan ekonomi global akibat dasar tarif ini dijangka menjejaskan permintaan antarabangsa terhadap pelbagai produk eksport, termasuk barangan halal yang memberi tekanan kepada penggiat industri tempatan.
“Justeru, usaha mempergiat meneroka pasaran baharu, khususnya di GCC dan Asia Selatan melalui padanan perniagaan dan penyertaan dalam ekspo antarabangsa akan memangkin pertumbuhan eksport, membuka peluang baharu untuk usahawan tempatan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.
“KKDW bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan memastikan usahawan Halal, khususnya di desa akan terus menembusi pasaran global.
“Insya-Allah, RM50 juta telah diperuntukkan kepada MATRADE untuk mempercepat usaha ini dan membuka akses ke pasaran antarabangsa yang lebih luas,” katanya.
Sementara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), katanya, kerajaan sedar cabaran dalam sektor E&E akan memberikan kesan langsung terhadap keperluan modal insan berkemahiran tinggi.
“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya beriltizam untuk memperkukuh institusi-institusi TVET negara agar dapat membina lebih banyak kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan pendigitalan.
“Keutamaan kita adalah untuk memastikan lebih ramai belia desa mendapat akses kepada latihan TVET yang relevan dan berkualiti, seterusnya meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang akan memacu ekonomi masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, Malaysia kini berada pada landasan kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 mencatat 5.1%, defisit fiskal menurun, inflasi stabil dan kerajaan komited melaksanakan agenda reformasi tanpa menjejaskan prinsip utama termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan dan perlindungan sektor strategik.
“Saya percaya, setiap langkah yang kita ambil adalah demi melindungi rakyat, khususnya komuniti desa, agar terus teguh menghadapi ketidaktentuan global.
“Marilah kita rapatkan saf, memupuk solidariti nasional, dan bersama-sama merealisasikan agenda pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI demi membina Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK