7 MEI : Cadangan akar umbi yang mahu Nurul Izzah Anwar dicalonkan sebagai Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR 2025 tiada kaitan dengan amalan nepotisme.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan itu sambil menegaskan tidak timbul soal amalan tersebut memandangkan anak Perdana Menteri itu kini menjawat sebagai Naib Presiden parti.
“Tidak benar, Nurul Izzah sekarang adalah Naib Presiden. Sekarang pun dia menjawat jawatan itu, jadi tak timbul apa-apa perkara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata PKR meraikan demokrasi dan ahli parti bebas memilih bakal pemimpin mereka.
“Keadilan (PKR) meraikan demokrasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk buat pilihan pemimpin-pemimpin yang mereka rasakan cocok dan sesuai dengan harapan, aspirasi dan juga apa yang mereka dambakan untuk penggal 2025-2028,” katanya.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ketua Cabang PKR bersama 12 lagi ketua cabang lain di Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah.
“PKR melahirkan ramai tokoh yang bukan hanya berkebolehan, tetapi juga memiliki jiwa perjuangan yang tulus dan utuh.
“Situasi cabaran serta perubahan lanskap politik semasa politik tanah air menuntut satu langkah yang berani dalam usaha memperkukuh PKR sebagai parti yang sentiasa di hadapan dalam menerajui pentadbiran negara.
“Dengan itu, PKR Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi bagi mengangkat Nurul Izzah untuk terus menyambung obor perjuangan reformasi dengan memikul tanggungjawab Timbalan Presiden bagi pemilihan sesi 2025-2028,” kata ketua-ketua tersebut dalam satu kenyataan bersama.
Mereka menyatakan keyakinan Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani PRU-16 yang akan datang.
“Gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada beliau yang sekian lama berdiri di atas kaki sendiri menempa nama sebagai pemimpin parti yang sebati dengan liku-liku perjuangan yang memberikan Nurul Izzah pengalaman luas mengemudi bahtera parti.
“Sokongan ini bukanlah atas nama hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan semata tetapi atas keyakinan terhadap kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti.
“PKR memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi yang tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan,” kata kenyataan itu.
Hari ini, Nurul Izzah dalam satu kenyataan menyatakan masih belum membuat keputusan terhadap cadangan itu sementara penyandang jawatan nombor dua parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan bersedia untuk mempertahankan jawatan tersebut.