7 MEI : China dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan perbincangan berkait isu tarif yang mencetus ketegangan antara kedua negara.
Dilaporkan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng akan berbincang dengan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam rangka lawatannya ke Switzerland pada 9 hingga 12 Mei ini.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap Kementerian Perdagangan China hari ini selepas pengumuman berkaitan dikeluarkan Kementerian Luarnya.
“Baru-baru ini, pucuk pimpinan AS bertalu-talu memberi isyarat tentang pihaknya mahu mengubahsuai langkah tarif serta menyampaikan mesej kepada China melalui pelbagai saluran dengan harapan untuk mengadakan perbincangan dengan China mengenai isu-isu yang meliputi tarif.
“Setelah mengadakan penilaian dengan teliti terhadap mesej daripada pihak AS, membuat pertimbangan penuh terhadap harapan masyarakat antarabangsa dan kepentingan China serta suara daripada sektor korporat dan kalangan pengguna AS, China setuju dan memutuskan untuk memulakan komunikasi dengan pihak AS,” kata jurucakap itu.
Menurutnya, China konsisten dalam melindungi kepentingan pembangunan negara sendiri, menegakkan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa serta memelihara orde ekonomi dan perdagangan antarabangsa ketika menghadapi ‘perang tarif’ dan rundingan.
“Pihak China akan melawan pihak yang memprovokasi habis-habisan, dan juga bersikap terbuka kepada kemungkinan untuk berunding.
“Sebarang dialog dan rundingan mesti dijalankan atas prasyarat saling menghormati, sama rata dan bagi tujuan sama-sama menang,” katanya.