7 MEI : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengkompaun RM10,000 seorang individu yang memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama di aplikasi TikTok, 31 Mac lalu.
Individu tersebut, Mohamad Shafiq Abdul Halim didakwa memuat naik kandungan berkaitan isu pekerja Menara Kuala Lumpur (KL).
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akt Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) yang memperuntukkan larangan terhadap penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan penyebaran kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.
Menurut MCMC, tidakan itu diambil selepas mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, MCMC dalam satu kenyataan menasihati semua pengguna media sosial agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan.
“Penyebaran kandungan berunsur jelik melampau khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja tidak akan dikompromi.
“MCMC menegaskan komitmen dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, teratur dan harmoni selari dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” kata MCMC melalui kenyataan tersebut.
*OLEH : HANUM RAJAK