7 MEI : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjamin stok beras negara mencukupi untuk lebih enam bulan.
Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata stok beras kini lebih 1.1 juta tan metrik termasuk stok penimbal beras berjumlah 200,000 tan metrik.
Menurutnya, setakat ini Malaysia tidak akan terjejas dengan konflik tercetus antara India dan Pakistan.
“Kerajaan akan terus memantau bagi memastikan stok beras negara sentiasa mencukupi.
“Mengikut data terkini, Malaysia merekodkan lebih 1.1 juta metrik tan beras dengan lebih 200,000 tan metrik daripadanya stok penimbal.
“Ia mencukupi untuk menampung keperluan sehingga lebih enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2025, hari ini.
Dalam pada itu, Arthur berkata kerajaan mempertimbang untuk mempelbagaikan sumber beras daripada negara lain bagi memastikan stok penimbal beras terus mencukupi keperluan negara.
“Meskipun apa sahaja berlaku termasuk konflik geopolitik, kita akan melakukan kaedah mempelbagaikan daripada sumber beras yang kita ambil daripada negara lain. Untuk memastikan stok penimbal sentiasa ada bagi memenuhi keperluan beras negara,” katanya.
Terdahulu, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan menambah import beras dari negara jiran susulan konflik India-Pakistan yang dijangka menjejaskan bekalan beras negara.