7 MEI : Kerajaan mengambil pendekatan yang teliti dan berhemah dalam menangani isu tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) dengan mengutamakan rundingan diplomatik serta kerjasama serantau.
Demikian kenyataan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu dijalankan dengan seimbang bagi melindungi kepentingan negara.
Ia susulan, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini perlu memainkan peranan aktif memperkukuh hubungan dengan rakan dagang.
“Pendekatan ini dilaksanakan secara tenang dan seimbang dengan tujuan utama untuk melindungi kepentingan negara serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan AS serta rakan dagang utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
Namun pada masa yang sama, katanya, kerajaan turut meneroka peluang perdagangan baharu dengan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun seperti Rusia dan Brazil.
Menurutnya, ia sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pasaran eksport negara.
“Pendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi jangka sederhana negara yang memberi tumpuan kepada kestabilan makroekonomi, daya tahan perdagangan global dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) demi memastikan kemakmuran yang inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK
