CRM digesa bantu kerajaan kurangkan kos perubatan

8 MEI : Kerajaan mahu Clinical Research Malaysia (CRM) membantu dalam menghasilkan penemuan baharu namun pada masa sama dapat mengurangkan kos perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata CRM tidak boleh bekerja sendiri sebaliknya perlu meneroka kerjasama lebih luas termasuk dengan institusi penyelidikan negara anggota ASEAN dan tempatan
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kebergantungan pada syarikat pengeluar besar dalam industri perubatan membebankan kerajaan dan rakyat.
Katanya, CRM perlu memastikan kerjasama terjalin dengan setiap fakulti perubatan di negara ini.
“Cabaran kita ialah untuk memastikan kos perubatan tidak melambung. Justeru, CRM mempunyai tugas besar untuk memastikan bertugas dalam bidang penyelidikan klinikal dan ada sinergi dengan semua institusi penyelidikan.
“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya memberikan arahan sangat jelas bahawa tiada satu institusi yang bekerja secara berasingan bermakna keberkesanan CRM ini mesti dilakukan dengan kerjasama semua institusi penyelidikan dalam negara dan universiti tempatan.
“Setiap fakulti perubatan mesti dirangkul bersama supaya semua kegiatan itu dapat dijalankan secara bersama. Dengan cara ini, kita akan memastikan hasilnya itu jauh lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian CRM Trial Connect 2025 di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata hasil kerjasama itu sudah membuahkan hasil sekarang namun kerajaan mahu strategi dijalin bersama negara ASEAN lain.
“Kita dapat melihat hasilnya sekarang tetapi kita mahu strategi bersama ASEAN supaya kerjasama itu lebih dekat dan mantap,” katanya.
