8 MEI : Penyelidikan klinikal di negara ini membantu negara mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia juga terus berkembang dalam landskap penjagaan kesihatan dan sosio-ekonomi negara.
“Sejak tahun 2012, ekosistem ini telah menyumbang lebih daripada RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia dan telah mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Setiap ujian klinikal yang dijalankan di negara ini telah menghasilkan kesan berganda daripada hospital ke pusat pembangunan klinikal, hab pengurusan data, rangkaian logistik dan makmal berpusat,” katanya.
Beliau berkata demikian di Perasmian Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2025 di ibu negara, hari ini.
Namun katanya, usaha membangunkan penyelidikan klinikal di Asia Tenggara dan Asia bukan sekadar angka tapi juga melibatkan soal bakat dan pengetahuan.
“Ia melibatkan manusia. Bakat, pengetahuan. Ia tentang persiapan golongan muda dengan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran global. Ia tentang menawarkan platform kepada para profesional kita untuk bekerjasama dengan pemikir terbaik di dunia.
“Ia juga tentang memastikan bahawa inovasi bukan hanya memberi manfaat kepada segelintir, tetapi mengangkat kehidupan ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan soal kepentingan memupuk kerjasama penyelidikan dan membina rangkaian serantau.
“Penting untuk kita memupuk kerjasama penyelidikan dan membina rangkaian serantau, bagi membangunkan penemuan klinikal yang menangani keperluan kesihatan penting untuk rakyat di rantau ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata menurut Laporan Tahunan Penyelidikan Clinical Research Malaysia (CRM) 2024, Malaysia memulakan 267 penyelidikan baharu pada 2024.
Secara keseluruhan, Malaysia sudah menjalankan lebih 2,500 kajian penyelidikan klinikal sejak penubuhan CRM pada 2012.