8 MEI : Kerajaan menggalakkan pekerja swasta di kawasan sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 juga dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kesesakan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata ia akan membantu kelancaran logistik persidangan itu kelak.
“Selain penjawat awam, sektor swasta juga digalakkan melaksanakan kerja dari rumah bagi memastikan kelancaran urusan persidangan mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur bandar bagi membantu kelancaran logistik persidangan nanti.
“Bagi menyokong kelancaran sidang, Kementerian Pendidikan akan mengumumkan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) PdPR di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.4.1.2. membenarkan penjawat awam terjejas dengan kesesakan trafik sepanjang persidangan itu untuk BDR.
Sidang Kemuncak ASEAN itu dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bertemakan ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.
Pada sidang itu, pemimpin dari kesemua 10 negara anggota ASEAN akan berhimpun bagi membincangkan isu serantau, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninjau persediaan akhir sidang kemuncak itu.
“Beliau menegaskan kepentingan penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi khususnya dari aspek logistik, keselamatan, protokol dan trafik.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bertekad memastikan hasil sidang mencerminkan tindakan konkrit demi kepentingan rakyat dan negara anggota,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK