Tuntut peruntukan lebih, perlu faham kekangan kerajaan

8 MEI : Kerajaan tidak menafikan semua kementerian di negara ini menuntut peruntukan lebih.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kementerian perlu memahami memahami kekangan kerajaan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau ada memaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad agar kakitangan kementerian itu memahami penyakit ekonomi yang dihidapi negara.
“Saya selalu katakan pada Dzulkefly, beritahu pada kakitangan supaya bukan hanya tahu mengenai penyakit tetapi juga memahami penyakit ekonomi (dan) dasar ekonomi makro.
“Setiap kementerian, jabatan dan pusat penyelidikan tentunya mahukan lebih peruntukan, tetapi kita perlu lihat sekolah, infrastruktur luar bandar, klinik dan hospital.
“Cabaran ini mesti ditangani dengan adil dan saksama selepas memahami kekangan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2025 di ibu negara, hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata kerajaan tiada masalah untuk memenuhi tuntutan semua kementerian dengan mengagihkan peruntukan yang lebih namun katanya, ia akan menyebabkan cukai meningkat.
Tegasnya, tindakan itu sekali gus akan membebankan semua pihak.
Justeru itu, katanya, pentingnya semua pihak memahami dasar ekonomi makro dan kekangan dihadapi kerajaan.
“Setiap wilayah, bandar dan kampung akan menuntut apa yang difikirkan adil kepada mereka tetapi tiada negara mampu melakukannya.
“Penyelidikan dan pembuat dasar itu perlu diberikan kepercayaan penuh, apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan dalam sumber yang terhad untuk melaksanakan penyelesaian berkesan,” katanya.
