9 MEI : Had pembelian Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi kini boleh dibeli sehingga lima kampir bagi setiap transaksi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peningkatan itu bagi mengelakkan lambakan stok beras di pasaran.
Katanya, sehingga 5 Mei lalu, lebih empat juta kampit BPT bersubsidi diagihkan ke seluruh negara namun sambutan daripada pengguna masih belum memadai.
“Inilah cabaran kita hari ini apabila sesuatu yang baik ditawarkan, belum tentu diterima.
“Maka, sebagai langkah memperbaiki keadaan, had pembelian BPT telah ditingkatkan daripada dua kampit kepada lima kampit bagi setiap transaksi. Kita mahu memastikan stok BPT bersubsidi ini tidaklah berlapuk dan akhirnya dimakan bubuk,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Mohamad, susulan tabiat pasaran yang sudah terbentuk sejak sekian lama, pengguna di Malaysia masih cenderung memilih beras berdasarkan jenama.
Namun katanya, apabila berlaku kekurangan atau gangguan dalam pasaran, ada pihak yang pantas menjadikannya isu politik.
“Mereka tidak mahu melihat gambaran penuh. Tidak mahu memahami bahawa masalah ini bukan hanya soal bekalan semata-mata. Ia lebih rumit, melibatkan struktur pasaran, psikologi pengguna dan cabaran logistik.
“Tetapi bagi saya, masa tidak boleh dibazir dengan menyalahkan sesiapa. Yang lebih penting ialah apa tindakan kita untuk ke hadapan,” katanya.
Justeru itu, beliau mengarahkan kementeriannya supaya melancarkan kempen nasional bertemakan ‘Saya Pilih Beras Tempatan” mulai bulan hadapan yang bukan sekadar kempen komunikasi namun gerakan untuk mengubah cara fikir rakyat Malaysia.
“Ia bertujuan menyedarkan pengguna bahawa beras tempatan bukan sahaja setanding dari segi kualiti dan rasa, malah membawa nilai ekonomi dan strategik yang besar, membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik, dan yang lebih penting, mengurangkan kebergantungan kita kepada import.
“Kalau kita serius tentang keterjaminan makanan, kalau kita benar-benar mahu memperkukuh kedaulatan negara, maka kita harus mulakan dengan satu tindakan mudah: pilihlah beras tempatan.
“Saya menyeru semua pihak baik pesawah, pengguna, pengedar, agensi dan NGO untuk sama-sama menyokong usaha ini. Bukan kerana ia disuruh kerajaan tetapi kerana ia baik untuk negara,” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Madani komited untuk memajukan sektor padi dan beras negara melalui pelbagai pendekatan menyeluruh daripada subsidi bersasar, sokongan kepada pesawah, pelaburan dalam infrastruktur hinggalah kepada kempen kesedaran pengguna itu.
Katanya, usaha itu bukan sahaja bertujuan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi namun juga memperkukuh kedaulatan makanan dan menjadikan industri padi lebih mampan dan berdaya saing.
“Kalau kita mahu negara maju dan berdikari, maka kita mesti berani membuat pilihan yang tepat dan beras tempatan adalah salah satu daripadanya,” kata Mohamad.
*OLEH : HANUM RAJAK