InDrive, Maxim diarah henti operasi kuat kuasa 24 Julai
9 MEI : Dua syarikat penyedia aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim diarah henti operasi berkuat kuasa 24 Julai ini.
Keduanya didakwa beroperasi secara haram di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menghantar surat kepada kedua-dua syarikat aplikasi.
“Berkuatkuasa mulai 24 Julai ini, operasi InDrive dan Maxim di negara ini perlu dihentikan.
“Bagaimanapun, kedua-dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan dan ia hanya boleh diputuskan oleh saya selaku Menteri Pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) mendakwa, kedua-dua syarikat itu terus menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.
Kedua syarikat itu didakwa melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Ini termasuk tidak memastikan pemandunya memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah seperti diwajibkan undang-undang Malaysia.
*Foto : Facebook Ministry of Transport Malaysia