9 MEI : Tuduhan dilempar terhadap pencalonan Naib Presiden (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini kononnya satu amalan nepotisme hanyalah pandangan golongan yang ‘malas berfikir’.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata anak Perdana Menteri itu sememangnya layak bertanding jawatan tersebut berdasarkan pengalaman luasnya sejak awal penubuhan parti.
Malah tegas Fahmi, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dikenali sebagai seorang ‘wanita besi’ sejak zaman persekolahan kerana aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.
Kata Fahmi, tuduhan yang dilemparkan itu sering datang daripada golongan yang hanya suka mencerca, mengherdik dan menghina individu tanpa membuat kajian secara mendalam.
“Mereka mungkin lupa bahawa Nurul Izzah pernah digelar sebagai ‘pembunuh gergasi politik’ susulan kejayaannya menewaskan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (Ketua Wanita UMNO) dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum 2008, meskipun pada mulanya dianggap satu misi mustahil,” katanya, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, Nurul Izzah menawarkan diri untuk merebut jawatan orang nombor dua parti itu sekali gus menentang penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nurul Izzah menyifatkan pencalonannya itu bukan satu amalan nepotisme atau dilabel ‘parti anak beranak’ namun ia kehendak akar umbi yang juga asas demokrasi.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Nurul Izzah merupakan pemimpin yang tegas dan tidak mudah dipengaruhi sesiapa.
Katanya, Nurul Izzah adalah antara pemimpin yang banyak mencorakkan hala tuju masa depan parti serta berjaya menarik golongan muda menyertai PKR.