9 MEI : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR 2025, hujung bulan ini.
Menurut Nurul Izzah, beliau sedar tentang cakap-cakap yang berlegar hingga PKR dilabel ‘parti anak beranak’ susulan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.
Namun beliau percaya perjuangan itu bukan milik mana-mana individu sebaliknya ia milik semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998.
“Saya tahu khabar angin yang berlegar sejak beberapa hari lalu menimbulkan dua reaksi berbeza. Ada sebahagian yang menyatakan terus kepada saya…menyambutnya dengan penuh pengharapan, ingin melihat regenerasi dan pembaharuan dalam parti.
“Ada juga yang menzahirkan kegusaran dan meminta saya mempertimbangkan semula keputusan ini kerana bimbang PKR dilabel sebagai ‘parti anak beranak’. Saya hormati kedua-dua pandangan kerana kedua-duanya datang dari rasa cinta yang mendalam terhadap parti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Cabang PKR dari Perak mencadangkan anak Perdana Menteri itu dicalonkan untuk jawatan nombor dua parti itu dan disokong pelbagai cabang dari negeri lain termsauk sayap parti, Wanita dan AMK.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata label ‘parti anak beranak’ itu bukan perkara baharu malah sudah dibangkitkan sejak 1998 lagi.
“Sejak 1998, ketika saya bersama pengasas dan pejuang Reformasi bersama-sama menubuhkan PKR, label ini digunakan untuk memperlekeh perjuangan kita.
“Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.
“Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata beliau akan tetap berkhidmat tanpa mengira gelaran dan persepsi yang dilemparkan kerana yakin proses bertanding secara terbuka.
“…mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme. Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak berminat dengan jawatan di Kabinet meski memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR kelak.
“Ketika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri dalam Kabinet yang turut dianggotai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.
“Malahan, sekiranya saya menang jawatan Timbalan Presiden (PKR) sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan Kabinet,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK