10 MEI : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.
Sultan Ibrahim turut menitipkan ucapan selamat Hari Ibu kepada Raja Permaisuri Agong.
Baginda bertitah, menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu bukanlah amalan bermusim atau terikat pada tarikh tertentu sahaja.
“Sebagaimana dititikberatkan dalam Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW bahawa ibu adalah insan yang mulia, diperintahkan Allah untuk berbuat baik kepadanya.
“Begitu juga berbakti kepada ibu kerana syurga berada dibawah kedua kakinya,” titah baginda melalui hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Titah Sultan Ibrahim, baginda sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan seorang isteri yang amat penyayang kepada anak-anak.
“Begitu besar pengorbanan serta kasih sayang dicurahkan Raja Zarith dalam membesarkan mereka.
“Semoga Allah SWT juga sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah baginda.