ATM jalankan pembedahan berisiko tinggi selamatkan nyawa di Myanmar
10 MEI : Pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Medan Malaysia (HMM) di Sagaing, Myanmar berjaya menyelamatkan nyawa seorang pesakit lelaki tempatan dalam satu pembedahan kecemasan berisiko tinggi.
Dalam satu kenyataan, Komander HMM, Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad berkata pesakit, U Myo Thien, 43 tahun mengalami simptom akut pada bahagian abdomen dan turut mempunyai sejarah penyakit jantung lemah serta masalah hati kronik yang menjadikan keadaannya amat kritikal.
Pembedahan segera dijalankan pasukan perubatan HMM yang diketuai Pakar Bedah, Mejar Dr Azrul Aminur Rashid Yunus bersama Pakar Bius, Leftenan Kolonel Dr Md Ariff Md Yusof.
“Pembedahan selama satu jam itu mendedahkan bahawa pesakit menghidap Acute Meckel’s Diverticulitis iaitu satu kondisi kongenital yang jarang berlaku melibatkan usus kecil dan hanya dialami kira-kira dua peratus daripada populasi umum.
“Turut terlibat dalam pembedahan itu Pembantu Bedah, Sarjan Mohd Kasirun Kahlib dan Pembantu Bius, Sarjan Muhamad Aznan Amerudin,” kata kenyataan itu.
Pesakit itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sagaing untuk rawatan lanjutan oleh pakar kardiologi dan nefrologi.
Kini, pesakit itu sudah dibenarkan keluar hospital selepas lima hari dan hadir ke janji temu susulan di HMM pada 8 Mei dalam keadaan stabil dan boleh berjalan serta makan seperti biasa.
“Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, ATM dan pasukan perubatan HMM atas rawatan yang telah menyelamatkan nyawanya,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut Dr Farhan, kejayaan operasi itu adalah bukti kukuh kerjasama erat antara Malaysia dan Myanmar dalam misi kemanusiaan, mencerminkan semangat solidariti sejagat serta profesionalisme ATM dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana gempa bumi yang terjejas.
Terdahulu, Malaysia menghantar pasukan perubatan ke Sagaing, Myanmar selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat yang meragut lebih 3,000 nyawa.
