12 MEI : Dua kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China hari ini mengumumkan pengurangan tarif import timbal balik yang dikenakan sebelum ini.
Menurut laporan agensi berita Jerman, (dpa) keputusan itu dicapai hasil rundingan yang diadakan di Geneva.
AS menurunkan tarif dikenakan terhadap barangan import dari China kepada 30 peratus daripada 145 peratus yang dinaikkan pentadbiran Donald Trump.
Sementara itu, China juga menurunkan tarif ke atas barangan import dari AS kepada 10 peratus daripada 125 peratus.
Menurut laporan itu, pengurangan tarif tersebut berkuat kuasa untuk 90 hari.
Menurut kenyataan bersama disiarkan Rumah Putih, keputusan tersebut dibuat dengan mengiktiraf kepentingan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala kepada kedua-dua negara serta ekonomi global.
AS dan China juga komited bergerak ke depan dengan semangat keterbukaan bersama, komunikasi berterusan, kerjasama dan saling menghormati.